Hinanya seorang BALACI
Perkataan adalah sesuatu yang hidup. Ia berkembang dan berubah setiap masa. Seperti juga benda hidup lain, ia pasti punya asal usul yang boleh dikaji. Sesetengah perkataan asalnya dari tempat lain, dipinjamkan seterusnya diubah suai mengikut slanga masyarakat setempat. Balaci, adalah satu perkataan yang sering disebut akhir-akhir ini.
Saya tidak tahu samada ia perkataan baru atau lama dan saya juga tidak tahu dari mana asal usul perkataan ini tetapi yang pasti masyarakat hari ini merujuknya kepada orang suruhan politikus yang sanggup berbuat apa saja samada bermoral atau salah dan mulia atau paling hina, demi menaikkan politikus tersebut.
Balaci juga kadangkala disebut ‘barua’. Ini dikaitkan dengan tahap kekejian kerja yang perlu dilakukan mereka.
Seorang rakan saya memberitahu tentang perbualannya dengan seorang balaci yang tidak punya masalah mengakui bahawa dia seorang balaci. Rakan saya bertanya, “apakah kerja engkau sebenarnya sehinggakan tanpa pelajaran dan tanpa pekerjaan yang sempurna, engkau mampu memiliki Rexton?” Jawab balaci tersebut tanpa segan silu, “kerja aku mudah. Ke mana sahaja aku pergi, aku hanya perlu berkata boss aku adalah manusia paling baik, suci dan murni sementara musuh boss aku pula adalah manusia paling jahat, buruk dan hina di dunia ini”. Pendek kata, sepertimana kisah pekerja kepada watak Jamil dalam filem Madu Tiga, dia hanya perlu berkata “kasihan!” apabila sesiapa bertanya tentang bossnya.
Itulah kerja seorang balaci. Mudah dan amat lumayan jika pandai memilih boss.
Apabila terlalu sering memuji boss, menyanjung boss di depan orang, seseorang balaci akan mula mempercayai kata-katanya sendiri. Perlahan-lahan, setelah bayaran sebagai balaci tadi dihadam dan menjadi darah daging, boss yang jahat, korup, rakus, khianat lagi hina juga mula dilihat sebagai mulia, mursyid, malaikat, dewata raya atau Tuhan. Pada ketika ini, seorang balaci tidak lagi boleh melihat rasional sesuatu perkara kerana apa yang penting ialah survival bossnya atau sebenarnya dirinya sendiri.
Tanpa sedar, boss tadi disembah di dalam hati di mana sesiapa atau apa sahaja yang menggugat atau dikhuatiri dapat menggugat kedudukan boss tersebut, akan ditentang habis-habisan dengan seribu satu alasan yang mampu difikirkan. Alasan yang digunakan seringkali kelihatan mulia kononnya kerana agama, kerana parti, kerana bangsa atau kerana negara. Sebaliknya semua orang dapat membaca bahawa alasan yang sebenarnya ialah kerana boss mereka semata-mata. Kerana itulah balaci dicemuh dan diketawakan kerana kejahilan mereka dalam memahami diri mereka sendiri.
Seorang balaci sebenarnya merupakan bayang kepada boss mereka. Jika balaci rakus, gelojoh dan sembrono seperti orang kurang pelajaran, maka begitulah juga tanggapan masyarakat terhadap boss mereka. Lalu, jika seseorang politikus tersilap memilih balaci, bukan sahaja reputasi mereka akan tergugat malah seluruh parti juga mungkin diheret bersama dan dicemuh oleh masyarakat. Oleh itu, mahu tidak mahu, kita perlu mengakui bahawa balaci ini sebenarnya mampu mecorakkan politik negara dan pengaruh mereka terhadap masa depan bangsa dan negara tidak boleh dipandang remeh.
Tetapi jangan pula tersalah anggap. Bukan semua yang bekerja untuk seorang politikus itu secara automatik menjadi balaci. Bekerja untuk seorang politikus tidak salah sama sekali tetapi menjadi balaci kepada politikus adalah kerja yang hina. Namun, bagaimana untuk membezakan kedua-duanya ini?
Bagaimana membezakan balaci dengan pekerja? Jawapannya ialah pekerja biasa mendapat gaji dan bonus yang bersesuaian mengikut keadaan. Pekerja biasa tidak mungkin dapat melonjakkan taraf hidup mereka dengan terlalu tinggi dalam sekelip mata melainkan dia punya pendapatan sampingan dengan berniaga, menang loteri atau mewarisi harta pusaka yang banyak secara tiba-tiba. Pekerja biasa perlu ada kelayakan dan pengalaman yang sesuai untuk kerjanya dan kerjanya pula boleh ditafsirkan dalam satu skop kerja biasa.
Kerja seorang balaci pula sukar ditafsirkan ke dalam skop kerja biasa. Kelayakan dan pengalaman mereka pula langsung tidak menjadi soal. Gaji seorang balaci tidak dapat ditentukan dengan pasti tetapi yang pasti bonusnya pasti hebat kerana seorang balaci selalunya mampu melonjakkan taraf hidup mereka dengan begitu tinggi dalam masa yang begitu singkat.
Namun, apa yang lebih menyerlah ialah ramai balaci yang berbangga menjadi balaci dan dengan megah mendabik dada bahawa dialah ‘orang kepercayaan’ (balaci) politikus itu atau ini. Ketika sessi politikus bertemu rakyat, balaci seringkali terlebih sudu dari kuah. Ketika bersama boss mereka pula, mereka bukan berlagak seperti seorang pekerja yang punya harga diri, tetapi seperti khadam yang hina lagi setia, buta tuli serta pekak badak terhadap betul atau salahnya perbuatan atau kata-kata boss mereka. Jika boss mereka menyuruh mereka lompat, mereka akan bertanya setinggi mana? Jika boss mereka menyuruh mereka berlari, mereka akan berlari sekuat hati sehingga terbang di udara. Sedangkan pekerja biasa akan bertanya, kenapa saya perlu melompat atau berlari tanpa sebab?
Itulah bezanya antara balaci dengan pekerja biasa kepada seorang politikus.
Justeru, seorang pekerja biasa kepada politikus yang membaca artikel ini tidaklah perlu melenting atau meroyan kecualilah jika deria rasa anda mampu merasa pedas tidak tentu pasal.
Tetapi, jika anda seorang balaci yang membaca artikel ini, anda punya hak untuk melompat atau mengamuk semahu-mahunya tetapi anda tidak perlu sama sekali untuk menjelaskan apa-apa terhadap saya mengenai betul atau salahnya perbuatan anda. Jika anda rasa anda betul dan punya alasan kukuh, jelaskan saja kepada Tuhan, bukan saya atau sesiapa.
No comments:
Post a Comment