Monday, October 10, 2011

Planet-planet

Planet-planet

Kami telah menjelaskan sebelum ini, planet ialah objek-objek angkasa yang mengelilingi bintang-bintang. Di dalam bahagian ini, kita akan mengkaji planet-planet di dalam Sistem Suria di mana Bumi kita berada. Jika kita anggarkan Sistem Suria ini sebagai sebuah bulatan, matahari berada di tengahnya.

Pluto adalah planet yang berada paling jauh daripada pusatnya. Pluto adalah planet paling kecil dan paling jauh daripada matahari. Pemerhatian ke atas planet ini amat sukar, dan teleskop Hubble hanya dapat menunjukkan beberapa maklumat dasar permukaannya. Planet ini sangat sejuk. Suhunya adalah sekitar -238°C. Pada musim sejuk, ketika suhu Bumi jatuh di bawah -2 atau -3°C, ia menjadi beku. -238°C adalah suhu yang 100 kali ganda lebih sejuk daripada suhu yang Bumi dapat terima pada musim sejuk. Kesejukan seperti ini boleh memusnahkan kita. Dari luar, Pluto kelihatan seperti sebiji bola yang diseliputi ais.

Menghampiri matahari, kita akan bertemu pula dengan Neptun. Planet ini juga sejuk; suhu permukaannya adalah sekitar -218°C. Atmosferanya mengandungi gas-gas yang beracun kepada manusia. Di samping itu, ribut-ribut menakutkan mencapai 2,000 kilometer (1,250 batu) per jam berlaku di permukaannya.

Bergerak sedikit ke arah matahari, di tengah-tengah bulatan, kita bertemu dengan Uranus. Uranus adalah planet ketiga terbesar di dalam Sistem Suria. Suhu atmosferanya ialah -214°C, bererti planet ini cukup sejuk untuk membekukan kita semua dalam masa sesaat. Atmosferanya mengandungi gas-gas beracun yang sama sekali tidak menyokong hidupan.

Jika kita meneruskan perjalanan kita ke arah matahari, kita akan bertemu pula dengan Zuhal. Planet ini, yang merupakan planet kedua terbesar di dalam Sistem Suria, dikenali dengan sistem gegelang yang mengelilinginya. Gegelang ini diperbuat daripada gas-gas, batu-batu dan ais. Suhu di planet ini juga tidak sesuai untuk hidupan: -178°C.

Apabila kita semakin merapati matahari, kita akan berjumpa dengan Musytari, planet terbesar di dalam Sistem Suria. Musytari adalah 11 kali lebih besar daripada Bumi. Keadaan di planet ini juga tidak sesuai untuk hidup, dan ia terlalu sejuk.

Selepas Musytari ialah Marikh. Marikh adalah sebuah planet mati yang tidak sama dengan Bumi. Marikh tidak mempunyai sebarang hidupan. Ini berpunca daripada beberapa sebab: Pertama, atmosfera Marikh adalah campuran beracun mengandungi karbon dioksida pekat. Kedua, tiada air di planet ini. Ketiga, suhu Marikh ialah -53°C. Akhir sekali, terdapat angin kuat dan ribut pasir di Marikh yang berlaku selama berbulan-bulan.

Planet biru yang muncul di hadapan kita selepas Marikh ialah Bumi kita. Kami akan memberikan perhatian terhadap planet kita Bumi ini pada bab terakhir nanti. Sementara itu, kami ingatkan kamu satu fakta: Bumi kita adalah satu-satunya planet yang membenarkan organisma hidup.

Terus mara ke arah matahari, pencarian kita membawa kita kepada sebuah planet yang dinamakan Zuharah. Zuharah adalah objek angkasa paling terang selepas matahari dan bulan. Oleh itu, manusia telah mengenalinya semenjak berzaman dahulu. Walaupun semua planet sejauh Zuhal telah dikenali manusia sejak dahulu, tetapi Zuharah kelihatan lebih terang dan jelas sama ada di langit waktu pagi atau petang. Tidak seperti planet-planet lain, Zuharah sangat panas. Suhu permukaannya ialah 450°C, yang cukup untuk meleburkan timah. Ciri-ciri lain Zuharah ialah atmosfera beratnya yang terdiri daripada satu lapisan karbon dioksida pekat. Di samping itu, atmosfera Zuharah juga mengandungi lapisan asid beberapa kilometer dalam. Tidak ada organisma yang dapat hidup di tempat seperti ini walau sesaat.

Selepas Zuharah, kita sampai pula ke Utarid, planet paling hampir dengan matahari. Putarannya menjadi perlahan oleh kedudukannya yang hampir dengan matahari sehinggakan ia hanya melakukan tiga putaran apabila ia mengelilingi matahari dua kali. Kerana itu satu bahagian planet ini sangat panas sementara sebahagian yang lain pula terlalu sejuk. Perbezaan di antara bahagian siang dan malam di Utarid ini ialah 1,000°C. Sudah tentu keadaan seperti ini tidak menyokong hidupan.

Pencarian kita setakat ini telah mendedahkan bahawa selain Bumi, tidak satu pun planet-planet di dalam Sistem Suria ini memberikan apa yang diperlukan untuk hidup. Semuanya tidak berpenghuni dan kosong. Bagaimanapun, dunia kita adalah sebuah planet yang menghasilkan semua keperluan untuk hidup. Dengan hutan hijau dan lautan birunya, ia kelihatan cantik dari angkasa. Angkasawan pertama ke bulan terperanjat dengan warna-warni dan cahaya bumi.

No comments:

Post a Comment